Friday, November 25, 2011

REFLEKSI MIKRO PENGAJARAN



MATA PELAJARAN              :           BAHASA MALAYSIA
TAHUN                                  :           TAHUN 2
KELAS                                  :           2M
BILANGAN MURID              :           33 ORANG
MASA                                   :           8.00 PAGI – 8.30 PAGI
SUB TAJUK                         :           KATA KERJA


PENGENALAN
            Saya telah menjalankan mikro pengajaran yang bertajuk kata kerja berdasarkan gambar serta lakonan dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia SJKC Tahun 2. Kelas saya adalah kelas Tahun 2M dan jumlah murid adalah sebanyak 33 orang. Mikro pengajaran ini dijalankan selama 8 minit.

KEKUATAN
Selepas saya menjalankan mikro pengajaran ini, saya dapati bahawa kekuatan dan kelebihan saya adalah murid faham serta berminat dalam topik tersebut. Berdasarkan tajuk yang saya ajar ini, saya dapati pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan dengan menggunakan kaedah berlakon agak berkesan. Murid bukan sekadar berminat untuk keluar berlakon malah mereka faham apa yangtelah disampaikan serta boleh membina satu ayat yang lengkap berdasarkan kata kerja yang telah dipelajari.
 Sebelum ini, saya dapati bahawa tahap kefahaman murid dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia adalah agak kurang berbanding dengan subjek Bahasa Cina. Walaupun murid-murid nampaknya seolah-olah tumpukan perhatian yang sepenuhnya dalam pengajaran saya, tetapi saya sedar bahawa mereka kurang faham dan tidak berani untuk bertanya.
 Oleh itu, saya menggunakan kaedah berlakon untuk menjelaskan kata-kata kerja yang hendak disampaikan. Dengan kaedah berlakon, murid akan faham apa yang hendak disampaikan. Contohnya, saya suruh seorang murid keluar berlakon berdasarkan gambar yang ditunjukkan oleh saya, dan murid lain pula teka apa yang murid tersebut sedang lakukan, dengan cepatnya murid lain akan memberi jawapan yang betul. Berdasarkan lakonan tersebut, saya juga akan menyuruh murid membina ayat berdasarkan kata kerja serta lakonan yang mereka telah pelajari, dan di sini saya dapati bahawa murid dapat membina satu ayat yang lengkap dan betul berdasarkan lakonan yang telah diperhatikan tadi. Walaupun ayat yang telah diberi pendek tetapi bersyukur kerana mereka boleh memberi ayat yang lengkap serta betul dari segi tatabahasa. Dan yang penting sekali ialah mereka tahu serta faham tentang makna kata kerja tersebut dan tahu tentang penggunaannya.

KELEMAHAN
Walaupun begitu, saya mengetahui bahawa terdapat kelemahan dalam mikro pengajaran saya ini. Suara saya hendaklah lebih lantang dan jelas supaya dapat didengar oleh semua murid.
Masalah lain yang saya hadapi ialah semasa saya meminta murid membina ayat, terdapat murid lain yang tidak aktif berfikir ayat yang hendak dibina. Mereka hanya tunggu kawan lain membina ayat. Walaupun keadaan dalam kelas senyap tetapi terdapat sebilangan kecil murid yang kurang menumpukan perhatian pada masa itu. Terdapat juga segelintir murid yang berasa kecewa kerana tidak berpeluang untuk keluar berlakon.

LANGKAH MENGATASI
            Untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran saya, terdapat beberapa langkah mengatasi yang hendak dilakukan selepas saya menjalankan refleksi. Sepatutnya saya hendaklah mencuba sedaya upaya untuk merangsangkan minat pembelajaran murid-murid sepanjang pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Saya wajar berusaha mahir dalam pendekatan sosial dan psikologi supaya lebih memahami anak murid saya.
            Komunikasi lisan saya hendaklah diserta dengan komunikasi bukan lisan seperti ukiran senyuman, ekspresi muka pergerakan tangan yang membantu memberi makna yang lebih jelas. Komunikasi mempunyai tujuan, oleh itu saya harus memastikan tujuan dalam menyampaikan ilmu itu tercapai. Waktu dan tempat untuk menyampaikan mesej atau berkomunikasi harus bijak dipilih supaya objektif mesej dapat dicapai dan murid lebih mudah menerima mesej yang disampaikan. 

No comments:

Post a Comment